
PERAYAAN
SIDANG PUJANGGA PERSURATAN
DI NUSANTARA
Sidang Pujangga Persuratan di Nusantara merupakan satu ikhtiar bagi mengkaji semangat zahir dan batin yang melatarbelakangi terhasilnya karya-karya bermutu tinggi dalam warisan persuratan, yakni kesan pengislaman yang disebarkan oleh para cerdik pandai dan pujangga silam, yang menatijahkan unsur kesatuan (unity) dan kepelbagaian (diversity) dalam kebudayaan kita. Ia laksana tauladan hikmah yang tak lekang waktu bagi mengilhami zaman kini dan memandu generasi baru dalam melayari dinamika kehidupan peribadi dan kebangsaan dalam konteks serantau.
Acara ini adalah anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang merupakan persatuan yang ditubuhkan pada 29 Januari 1955 dan berpusat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Penubuhan PBMUM ini digagaskan oleh pemikir besar masyarakat seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan Pendeta Za’ba yang berkehendak agar wujudnya satu persatuan mahasiswa Melayu yang berupaya memainkan peranan penting dalam perkembangan sastera dan bahasa Melayu. Penubuhan persatuan ini menunjukkan keakraban hubungan antara intelektual dan mahasiswa dalam membentuk satu masyarakat yang berbudaya tinggi.
Selepas kemerdekaan, PBMUM merupakan pihak yang terkehadapan dalam menggesa kerajaan melaksanakan Akta Bahasa Kebangsaan secara serius sehinggalah tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seiring dengan perkembangan zaman, hala tuju dan orientasi perjuangan PBMUM juga turut berkembang daripada memperjuangkan pengaruh bahasa Melayu, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu kepada aspek perjuangan yang lebih luas dengan menggeluti isu-isu kemasyarakatan seperti kemiskinan, pendidikan dan keadilan sosial.
SESI PERTAMA
ULAMA DAN PUJANGGA AWAL DALAM SEJARAH PERSURATAN ISLAM DI ALAM MELAYU


H01 Perasmian Sidang Pujangga Persuratan di Nusantara

H01 S01 P01 Peranan Syaikh Hamzah Fansuri & Syed Muhammad Naquib al-Attas terhadap Persuratan Islam di Alam Melayu

H01 S01 P02 A’yan Thabitah dalam Wujudiyyah Nusantara

H01 S01 P03 Al-Burhānpūrī: Historiografinya dan Pengaruhnya pada al-Sumaṭrā’ī melalui al-Tuhfah al-Mursalah dan al-Haqīqah al-Muwāfiqah li-l- Sharī‘ah

MAJLIS PERASMIAN SESI PERTAMA
ULAMA DAN PUJANGGA AWAL DALAM SEJARAH PERSURATAN ISLAM DI ALAM MELAYU
Islam bukan sekadar agama yang terbatas pada tatacara ibadat tertentu, bahkan ia adalah satu pandangan alam yang menaungi segala hal dan perbuatan yang bergelar dalam kehidupan seseorang insan, khususnya yang berkaitan dengan ilmu dan telah menebar cahayanya hingga ke Nusantara. Nama-nama pujangga persuratan yang agung di rantau ini seperti Hamzah Fansuri, Nur al-Din al-Raniri, Raja Ali Haji dan ramai lagi, lahir daripada cahaya ini! Ayuh turut serta menapak semula pada jejak-jejak warisan pujangga persuratan di Nusantara kita yang semakin dipinggirkan. Antara tema-tema penting yang bakal diapungkan pada program ini nanti ialah peradaban Melayu-Islam, persuratan, keilmuan, bahkan juga faham-faham asasi seperti makna insan dan Tuhan.

SESI PERTAMA | TAJUK PERTAMA
PERANAN SHAYKH HAMZAH FANSURI &
SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS
TERHADAP PERSURATAN ISLAM DI ALAM MELAYU
Pembentang:
DR. ROSLAN JELANI
Felo Penyelidik Kanan, UTM RZS-CASIS
Dr. Roslan Abd Jelani merupakan bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial daripada Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana dalam bidang Pemikiran Islam daripada International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) dengan judul Modern Values and Their Relationship to Thought Patterns and Behaviour of Leardership: A Preliminary Study (2007). Terkini, beliau dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah daripada Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (RZS-CASIS). Judul kajian beliau adalah Conceptualization Of Modern Leadership Within Al-Attas’ Framework Of Adab (2022).

SESI PERTAMA | TAJUK KEDUA
A’YAN THABITAH DALAM
WUJUDIYYAH NUSANTARA
Pembentang:
DR. WAWAN KURNIAWAN
UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta
Dr. Wawan Kurniawan merupakan pensyarah akidah dan filsafat Islam di Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta. Beliau dikenali sebagai sarjana yang menulis dan mengkaji berkenaan filsafat Islam, ilmu kalam, mantiq, tasawuf dan pemikiran beberapa ilmuan Islam gergasi seperi al-Ghazali, Ibn Sina dan Ibn Arabi. Beliau sering menyampaikan kuliah dan perkongsian berkenaan bidang kajian beliau di beberapa platform seperti Turos Pustaka, Nuralwala dan Hermeneuta. Sehingga kini, beliau aktif mensyarahkan beberapa kitab seperti al-Manhaj al-Jadid fi Ta’lim al-Falsafah dan Jawāhir al-Qur’an dalam sesi Ngaji Filsafat Islam yang dianjurkan oleh Pesantren Virtual Darul Hikmah dan Hermeneuta secara dalam talian, selain daripada menjadi pembentang dalam beberapa forum dan persidangan akademik. Beliau juga telah menterjemahkan beberapa karya berjudul “Tafsir Falsafi Metode Ibnu Sina dalam Memahami Al-Qur’an” (2025) dan “Apa itu Tasawuf?” (2022).

SESI PERTAMA | TAJUK KETIGA
AL-BURHĀNPŪRĪ (W.1029/1620): HISTORIOGRAFINYA DAN PENGARUHNYA PADA AL-SUMAṬRĀ’Ī (W.1039/1630) MELALUI
AL-TUHFAH AL-MURSALAH DAN AL-HAQĪQAH AL-MUWĀFIQAH LI-L- SHARĪ‘AH
Pembentang:
EN. HALIM. M. KHOIRI
Georgetown University, Amerika Syarikat
Halim M. Khori merupakan calon mahasiswa kedoktoran (PhD) yang memperoleh tajaan biasiswa penuh di bawah bidang pengajian Islam dan bahasa Arab di Georgetown University, Amerika Syarikat. Tatkala menjalani ijazah Sarjana di George Washington University pula, beliau menjadi pembantu penyelidik kepada Dr. Seyyed Hossein Nasr, salah seorang sarjana Muslim yang paling berpengaruh di dunia. Berlatarbelakangkan pendidikan pondok Nahdlatul Ulama (NU) selama hampir tujuh tahun dan mendalami pelbagai kitab turath dan pendidikan universiti, serta bimbingan daripada Dr. Hossein Nasr, beliau menggeluti bidang falsafah Islam, kesusasteraan Arab klasik, tasawuf, perbandingan agama, seni bina Islam dan tradisi tasawuf Nusantara. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Tim Ahli Stafsus Kemendikbudristek untuk isu toleransi (2020-2022), tim INOVASI sebagai konsultan untuk Kementerian Agama, Republik Indonesia (2022-2023), di samping berpengalaman mengajar beberapa mata kuliah (kursus subjek) di Universitas Paramadina seperti tasawuf, bahasa Arab, ulum hadis dan hermeneutik. Beliau kini sedang mentahqiq naskah-naskah awal tasawuf Nusantara seperti karya al-Burhanpuri, al-Sumatra’i, al-Raniri, dan lain-lain.

SESI PERTAMA | TAJUK KEEMPAT
SHAYKH YUSUF AL-TAJ AL-MAQASSARI: SPIRITUALISME BERBUAH AKTIVISME
Pembentang:
PROF. OMAN FATHURAHMAN
UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta
Prof. Oman Fathurahman ialah seorang sarjana Indonesia yang cukup terkemuka, khususnya dalam bidang filologi dan manuskrip Nusantara. Beliau banyak terlibat dalam usaha memelihara manuskrip dan naskah-naskah Melayu-Islam lama, seperti penyuntingan, pendokumentasian dan pendigitalisasian, sehingga beliau digelar sebagai ‘pelindung’ manuskrip Nusantara. Beliau juga pernah memperoleh penghargaan Habibie Prize 2023 sebagai pengiktirafan keilmuan dan sumbangan beliau dalam bidang filologi, serta pelbagai lagi penghargaan yang lain. Buku beliau berjudul “Khazanah Naskah: Panduan Koleksi Naskah Indonesia se-Dunia” (1999) telah dijadikan sebagai rujukan utama untuk para pengkaji manuskrip Nusantara di seluruh dunia. Selain itu, beliau turut menulis beberapa karya lain dalam cakupan metafizik, tasawuf, kebudayaan dan sejarah seperti “Ithaf Al-Dhaki: Tafsir Wahdatul Wujud bagi Muslim Nusantara”, “Filologi Indonesia: Teori dan Metode”, “Tarekat Syattariyah di Minangkabau: Teks dan Konteks” dan banyak lagi. Kini, beliau menjawat jawatan Guru Besar Filologi FAH UIN Syarif Hidayatullah Jakarta, serta Pengampu Ngariksa (singkatan bagi “Ngaji Manuskrip Kuno Nusantara”) iaitu sebuah usaha untuk memelihara dan mempelajari manuskrip dengan pendekatan yang mendalam.

SESI PERTAMA | SOAL JAWAB
ULAMA DAN PUJANGGA AWAL DALAM SEJARAH PERSURATAN ISLAM DI ALAM MELAYU
SESI KEDUA
PERKEMBANGAN TRADISI TASAWUF DI ALAM MELAYU DAN HUBUNGANNYA DENGAN DUNIA ISLAM


H01 S02 Pembukaan Majlis

H01 S02 P05 Syaikh ‘Abd Ra’uf al-Fansuri (1615-1693): Peranannya dalam Menghidupkan Budaya Ilmu di Alam Melayu

H01 S02 P06 Jejak Ajaran Ma'rifat Para Wali Tanah Jawi Pada Naskah Suluk-Suluk Awal

H01 S02 P07 Dari Imam Abu Hasan al-Ashaʿri hingga Syeikh Wan Ahmad al-Fatani: Sumbangan Ahlussunnah dalam Ketamadunan Bahasa Melayu

MAJLIS PEMBUKAAN SESI KEDUA
PERKEMBANGAN TRADISI TASAWUF DI ALAM MELAYU DAN HUBUNGANNYA DENGAN DUNIA ISLAM

SESI KEDUA | TAJUK KELIMA
SHAYKH ‘ABD RA’UF AL-FANSURI (1615-1693): PERANANNYA DALAM MENGHIDUPKAN BUDAYA ILMU DI ALAM MELAYU
Pembentang:
DR. RIDWAN ARIF
Universitas Paramadina, Jakarta
Dr. Ridwan Arif ialah ahli akademik yang menggeluti bidang falsafah, agama dan pemikiran Islam, khususnya di alam Melayu-Indonesia. Beliau juga merupakan pensyarah falsafah dan agama di Universitas Paramadina, Indonesia. Kajian beliau tertumpu kepada falsafah Islam klasik dan kontemporari, ilmu kalam dan tasawuf. Beliau juga aktif menulis artikel ilmiah dalam bidang kepakaran beliau, di samping turut dijemput sebagai penceramah dalam beberapa program yang dianjurkan oleh beberapa badan terkemuka. Terkini, beliau telah menerbitkan beberapa karya seperti Syekh ‘Abd Al-Rauf Al-Fansuri: Rekonsiliasi Tasawuf dan Syariat Abad Ke-17 di Nusantara, dan beberapa karya lain yang merumikan beberapa kitab turath Islam seperti ‘Umdat al-Muḥtājīn ilā Sulūk Maslak al-Mufridīn dan Daqā’iq al-Ḥurūf.

SESI KEDUA | TAJUK KEENAM
JEJAK AJARAN MA'RIFAT PARA WALI TANAH JAWI PADA NASKAH SULUK-SULUK AWAL
Pembentang:
EN. IRFAN AFIFI
Langgar.co
Irfan Afifi ialah budayawan, cendekiawan dan pengarang yang berasal daripada Yogyakarta, Indonesia. Beliau menggeluti karya-karya turath Islam sebagai seorang santri (pelajar pondok), dan kemudian melanjutkan perjalanan akademik sehingga lulus sebagai mahasiswa di Fakultas Filsafat Universitas Gadjah Mada (UGM). Ketekunan dan minat beliau yang mendalam terhadap kebudayaan Jawa dan falsafah Islam telah mendorongnya untuk menubuhkan langgar.co pada tahun 2018; sebuah lembaga kebudayaan yang membincangkan pemikiran Islam yang berakarkan tradisi tempatan dan giat dalam penerbitan buku serta penganjuran diskusi berkala yang dinamakan sebagai Suluk Kebudayaan Indonesia dan Ngaji Langgar. Kecintaan beliau dalam bidang yang diceburinya ini juga diterjemahkan dalam beberapa karyanya yang berjudul “Saya, Jawa dan Islam”, “Daulat Kebudayaan: Jawa dan Islam dalam Sebuah Pertemuan”, “Suluk Kebudayaan Indonesia: Menengok Tradisi, Pergulatan dan Kedaulatan Diri” dan beberapa karya lain. Beliau juga kerap diundang sebagai penceramah serta dirujuk dalam perbahasan umum yang berkisarkan falsafah dan kebudayaan Jawa, sejarah intelektual Nusantara serta hubungan Islam-Jawa.

SESI KEDUA | TAJUK KETUJUH
DARI IMAM ABU HASAN AL-ASHAʿRI HINGGA SHAYKH WAN AHMAD AL-FATANI: SUMBANGAN AHLUSSUNNAH DALAM KETAMADUNAN BAHASA MELAYU
Pembentang:
DR. ZAINUL ABIDIN BIN ABDUL HALIM
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Dr. Zainul Abidin bin Abdul Halim merupakan seorang ahli akademik yang berkhidmat sebagai Penolong Profesor di International Islamic University Malaysia (IIUM), khususnya di Kulliyyah AbdulHamid AbuSulayman bagi Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan. Beliau memiliki kelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Usul al-Din dan Perbandingan Agama) daripada IIUM, judul PhD beliau ialah Mazahir al-Tawfiq bayna al-Tasawwuf wa al-‘Aqidah fi Kitabay ‘Nusrat al-Fuqayyir’ wa ‘al-Mawahib al-Quddusiyyah’: Muhawalah li Istikhrāj al-Asas al-Sufiyyah min Khilal Fikr al-Imām al-Sanūsi dalam bahasa Arab. Beliau telah mengkaji 2 manuskrip utama Imam al-Sanusi berjudul Nusrah al-Fuqayr” dan “al-Mawahib al-Quddusiyyah. Selain itu, beliau mendapatkan ijazah sarjana dari Universiti Abdelmalek Essaadi serta ijazah sarjana muda dari Universiti Cadi Ayyad.

SESI KEDUA | SOAL JAWAB
PERKEMBANGAN TRADISI TASAWUF DI ALAM MELAYU DAN HUBUNGANNYA DENGAN DUNIA ISLAM
SESI KETIGA
FAHAM BAHASA, PERSURATAN DAN ESTETIKA


H02 S03 Pembukaan Majlis

H02 S03 P08 Menguasai Bahasa Sendiri dan Mengetahui Bahasa Asing: Kewajipan Mempelajari Bahasa dari Sudut Pandang Za'ba

H02 S03 P09 Faham Persuratan Islam dan Metafizik Keindahan

H02 S03 P10 Dari Fiksyen Ke Persuratan: Sumbangan Gagasan Persuratan Baru Terhadap Kesusasteraan Melayu Moden

MAJLIS PEMBUKAAN SESI KETIGA
FAHAM BAHASA, PERSURATAN DAN ESTETIKA

SESI KETIGA | TAJUK KELAPAN
MENGUASAI BAHASA SENDIRI DAN MENGETAHUI BAHASA ASING: KEWAJIPAN MEMPELAJARI BAHASA DARI SUDUT PANDANG ZA'BA
Pembentang:
PN. NORZIATI BINTI MOHD ROSMAN
Akademi Jawi Malaysia
Norziati binti Mohd Rosman ialah Pengarah Penerbitan di Akademi Jawi Malaysia (AJM), iaitu sebuah syarikat yang bergiat dalam lapangan keilmuan dan kebudayaan Jawi. Beliau mempunyai pengalaman yang luas sebagai penyelidik, penyunting dan pembaca pruf serta mahir merumi naskhah-naskhah Jawi. Di peringkat awal kegiatan penulisan, beliau menceburi penulisan fiksyen, bahkan dua buah novelnya pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2008 dan 2009. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Ekonomi Islam dan seterusnya ijazah Sarjana dalam bidang falsafah dan pemikiran Islam dari Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tesis kajiannya sudah diterbitkan dengan judul Rengkahan Jawi: Sejarah Perusahaan Kitab Abad ke-19 (2024).

SESI KETIGA | TAJUK KESEMBILAN
FAHAM PERSURATAN ISLAM DAN METAFIZIK KEINDAHAN
Pembentang:
EN. YOGI THEO RINALDI
Lubukata, Jakarta
Yogi Theo Rinaldi ialah pengasas Inisiatif Pendidikan Lubukata, sebuah gerakan literasi yang menggabungkan perusahaan buku dan akademi pendidikan yang berpusat di Jakarta, Indonesia. Di bawah Lubukata, beliau telah mengendalikan pelbagai kursus dan program yang berkaitan dengan pendidikan seperti seni membaca, berfikir kritis, bercakap dan etika pembelajaran dengan menggabungkan tradisi keilmuan Islam dan Barat. Buku beliau berjudul “The Art of Reading: An Introductory Manual for Lifelong Learners” (2025) yang baru sahaja diterbitkan adalah hasil sebahagian daripada wacana yang berkesan dan berterusan di Lubukata yang dianjurkan selama beberapa tahun ini. Beliau berkelulusan Universitas Indonesia dalam bidang Sastra Arab dengan tesis berjudul “Kosmologi Islam dalam Pandangan Hamzah Fansuri” (2014). Beliau juga meraih gelaran Sarjana Falsafah dari Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan tesis berjudul “Falsafah Keindahan dan Penjelmaannya Menurut Pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas”. Beliau cenderung dengan wacana falsafah Islam, tasawuf, bahasa, seni, kesusasteraan dan pendidikan, bahkan telah menulis beberapa artikel ilmiah dalam bidang-bidang ini.

SESI KETIGA | TAJUK KESEPULUH
DARI FIKSYEN KE PERSURATAN: SUMBANGAN GAGASAN PERSURATAN BARU TERHADAP KESUSASTERAAN MELAYU MODEN
Pembentang:
PROF. MADYA DR. MOHD. ZARIAT ABDUL RANI
Universiti Putra Malaysia
Dr. Mohd Zariat Abdul Rani merupakan profesor madya di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004 dengan tesis berjudul “Seksualiti dalam Novel Melayu: Satu Analisis Teks Berdasarkan Persuratan Baru”. Bidang kepakaran beliau ialah teori dan kritikan sastera, dengan minat penyelidikan dalam kesusasteraan Islam, retorika fiksyen dan sastera popular. Beliau sehingga kini masih giat meneliti Gagasan Persuratan Baru, sebuah gagasan persuratan yang dicetuskan oleh Mohd. Affandi Hassan, seorang pengkritik dan penulis terkenal di Malaysia. Beliau pernah menjadi penerima The Nippon Foundation Fellowships for Asian Public Intellectuals (API) Fellowship Programme 2008/2009, selain memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Groups & ExxonMobil 2008. Beliau banyak menerbitkan makalah ilmiah dalam bidang kesusasteraan Melayu, khususnya kritikan sastera.

SESI KETIGA | SOAL JAWAB
FAHAM BAHASA, PERSURATAN DAN ESTETIKA
SESI KEEMPAT
TRADISI PERSURATAN, HISTORIOGRAFI DAN FAHAM KEBANGSAAN DALAM SEJARAH ISLAM DI ALAM MELAYU


H02 S04 Majlis Pembukaan dan Persembahan

H02 S04 P11 Bahasa Menunjukkan Bangsa: Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Perbandingan Konsepsi Klasik dan Modern tentang Melayu

H02 S04 P12 Antara Maruah dan Kuasa: Mengulang Fikir Pertembungan Nilai dalam Kesusasteraan Melayu

H02 S04 P13 Konsep Sejarah dalam Historiografi Alam Melayu

MAJLIS PEMBUKAAN SESI KEEMPAT
TRADISI PERSURATAN, HISTORIOGRAFI DAN FAHAM KEBANGSAAN DALAM SEJARAH ISLAM DI ALAM MELAYU

SESI KEEMPAT | TAJUK KESEBELAS
BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA:
SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS DAN PERBANDINGAN KONSEPSI KLASIK DAN MODERN TENTANG MELAYU
Pembentang:
EN. ISMAIL AL-ʿALAM
Bentala Tamaddun Nusantara, Yogyakarta
Ismail Al-’Alam ialah penyelidik di Pusat Studi Agama dan Demokrasi (PUSAD) Paramadina, editor IndoPROGRESS, dan mediator bertauliah bagi konflik etnik dan agama. Beliau menuntut ilmu dalam bidang Ilmu Falsafah di Universiti Indonesia, Falsafah dan Agama di Universiti Paramadina, serta Sarjana Falsafah Ketuhanan dengan bidang minat Kajian Konflik dan Perdamaian di Universiti Kristen Duta Wacana. Bersama beberapa aktivis dakwah di Yogyakarta, beliau turut mengasaskan Yayasan Bentala Tamaddun Nusantara yang memberi tumpuan kepada pendidikan pemikiran Islam, khususnya dalam kalangan mahasiswa di Kota Pelajar. Beliau telah membentangkan beberapa makalahnya dalam persidangan di University of Birmingham, Mennonite World Conference, Perhimpunan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia, dan Seminar Agama Persekutuan Gereja-gereja di Indonesia (PGI).

SESI KEEMPAT | TAJUK KEDUABELAS
ANTARA MARUAH DAN KUASA: MENGULANG FIKIR PERTEMBUNGAN NILAI DALAM KESUSASTERAAN MELAYU
Pembentang:
DR. ABDUL MUQIT MUHAMMAD
Open University Malaysia
Dr. Abdul Muqit Muhammad berkelulusan sarjana muda Pengajian Melayu (Kesusasteraan Melayu), sarjana dalam bidang polisi awam dan ijazah kedoktoran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang budaya politik. Tesis kedoktoran beliau berkaitan konsep keterancaman Melayu. Kepakaran beliau pula berlegar pada bidang yang sama iaitu budaya politik Melayu dan pemikiran Melayu-Islam. Beliau juga adalah antara ahli akademik yang mengganggotai Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Keharmonian Kaum dan Agama (Rakan KRPPM-KKA); yang bertujuan mengurangkan kesenjangan kaum dan agama di Malaysia. Beliau pernah menjawat jawatan Pengerusi Liga Rakyat Demokratik, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertunjangkan aktivisme politik dan sosial. Kini, beliau bertugas sebagai pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open Universiti Malaya (OUM) dan aktif dalam wacana awam sama ada secara lisan atau tulisan, membincangkan isu-isu berkaitan politik, sosial, budaya Melayu dan aktivisme.

SESI KEEMPAT | TAJUK KETIGABELAS
KONSEP SEJARAH DALAM HISTORIOGRAFI ALAM MELAYU
Pembentang:
PROF. TATIANA A. DENISOVA
RZS-CASIS UTM, Kuala Lumpur
Profesor Dr. Tatiana A. Denisova, adalah seorang sarjana dari Moscow, Rusia. Beliau memperoleh pendidikan tinggi di Saint Petersburg State University, dan berjaya memperoleh PhD dalam sejarah, membawa kepada pensejarahan dan kajian semula sumber dalam sejarah Islam. Beliau pernah Ketua Bahagian Penyelidikan Sumber dalam Sejarah Islam di Akademi Sains Rusia, Institut Pengajian Oriental. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pengajian Asia & Afrika, Universiti Negeri Moscow sehingga 2006. Beliau juga pernah berkhidmat di Malaysia sebagai Penyelidik Pelawat (sehingga 2003), Sarjana Pelawat dan Sasterawan Pelawat (sehingga 2006) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan beliau juga pernah menjadi Profesor Madya Pelawat di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Kini beliau menjabat sebagai Profesor di RZS-CASIS UTM, Kuala Lumpur. Beliau telah menghasilkan banyak karya akademik. Karya terbitannya meliputi lebih 70 judul, tentang sejarah penyebaran Islam di Alam Melayu; Sumber sejarah Melayu-Islam dan metodologi penyelidikannya; warisan sastera Melayu dan lain-lain.

SESI KEEMPAT | SOAL JAWAB
TRADISI PERSURATAN, HISTORIOGRAFI DAN FAHAM KEBANGSAAN DALAM SEJARAH ISLAM DI ALAM MELAYU

SESI KEEMPAT | RUMUSAN & PENUTUP
TRADISI PERSURATAN, HISTORIOGRAFI DAN FAHAM KEBANGSAAN DALAM SEJARAH ISLAM DI ALAM MELAYU
