
SIRI WACANA
PANDANGAN ALAM ISLAM
Siri Wacana Pandangan Alam Islam atau Worldview of Islam Series (WISE) merupakan sebuah siri kuliah yang dianjurkan oleh Ta’dib International Institute (TII) dengan kerjasama Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilisation (RZS-CASIS) dan Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM). Program ini bertujuan mendedahkan gagasan-gagasan penting tokoh ilmuwan terkemuka tanah air iaitu Almarhum Profesor DiRaja Terpuji Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui sesi sharahan yang akan disampaikan oleh anak didik Almarhum Prof. sendiri dan anak murid kepada anak didik tersebut. WISE merupakan sebuah kesinambungan daripada siri wacana ilmiyyah pandangan alam Islam yang telah bermula sejak tahun 90-an ketika mereka masih menuntut di ISTAC. Program ini mula diadakan pada tahun 2010, dilaksanakan dalam dan luar negara seperti Mesir serta Sweden dalam pelbagai pendekatan seperti WISE Summer School, WISE-2, dan WISE Fokus.
Akses kepada rakaman siri wacana ini adalah terhad kepada peserta yang berdaftar dan menyertai program secara fizikal. Pendaftaran bagi mengikuti program ini boleh dilakukan di SINI sehingga 11 September 2026. Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi kami melalui e-mail ini. Terima kasih.
Kami amat menghargai sokongan anda dalam usaha membina arkib digital berkaitan Pandangan Alam Islam melalui langganan pakej yang ditawarkan:
ALL SERIES | YEARLY ACCESS
LECTURE SERIES | MONTHLY


Pandangan Alam Islam:
Makna, Skop, dan Cabaran
Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran
MODUL 1
19 September 2026
Sharahan ini meliputi perbahasan Cabaran Kaum Muslimin masa kini yang berkait dengan latar belakang sejarah pertembungan agama, kebudayaan dan tamadun di antara Barat dan Islām, sebab-sebab kemunduran pemikiran umat Islām masa kini dan kaedah penyelesaiannya, serta konsep-konsep penting dalam Islām yang berkait rapat dengan masalah kebudayaan, pendidikan, dan sains yang dihadapi oleh umat Islām masa kini. Ia disusuli dengan pengenalan mengenai Pandangan Alam Islam yang meliputi unsur-unsur asasi seperti hakikat Tuhan, ‘alam semesta, wahyu, insan, ‘ilmu, agama, kebebasan, nilai dan budi-pekerti, serta kebahagiaan. Selanjutnya, Pandangan Alam Islam dikupas dalam konteks adab dan peradaban yang menjelaskan bagaimana Pandangan Alam Islam itu berhasil menerbitkan komitmen yang tinggi terhadap prinsip kehidupan yang berteraskan Tawhid yang merupakan asas kepada kehidupan yang beradab.

Masalah Luaran Kaum Muslimin
dan Ancaman Sekularisasi
Dr. Muhammad Syafiq Borhannuddin
MODUL 2
26 September 2026
Modul ini akan mengupas punca mengapa cabaran luaran kaum Muslimin datang dari tamadun Barat. Hakikat ‘Tamadun Barat’ dan ciri-ciri utamanya akan diberikan penta‘rifan, dikuti dengan penjelasan terhadap pertembungan Islām dengan Barat dalam bentuk agama sejagat, ketenteraan atau politik global, dan penjajahan ‘ilmu serta pendidikan. Selanjutnya, akan menyorot ta‘rifan dan ma‘na sekularisasi sebagai program falsafah. Sekularisasi ‘alam tabi‘i dan sejarahnya di Barat akan diteliti semenjak zaman Yunani purba hingga ke masa kini. Berlandaskan unsur tersebut, modul ini akan membahaskan pensekularan politik dan sekularisasi nilai yang menidakkan kewibawaan dan kemutlakan agama. Bagaimana Kristian Barat semasa menjawab permasalahan sekularisasi akan diselidiki untuk dijadikan i‘tibar.

Masalah Dalaman Kaum Muslimin:
Kekeliruan Ilmu, Kehilangan Adab, dan Pemimpin Palsu
Dr. Khalif Muammar A. Harris
MODUL 3
3 Oktober 2026
Modul ini memperjelaskan masalah dalaman utama kaum Muslimin kini. Masalah dalaman ini adalah cabaran yang perlu dihadapi kaum Muslimin secara berhemah dan berasaskan kefahaman yang benar demi menjamin jati diri yang Islāmi. Modul dimulakan dengan membicarakan masalah berkaitan kekeliruan ‘ilmu, diikuti masalah kehilangan adab dan disiplin, seterusnya disusuli dengan masalah kepimpinan palsu. Antara isu yang diketengahkan adalah seperti sikap anti-mazhab, anti-tasawwuf, penyempitan ‘ilmu Islāmi, dan salah-urus negara. Bagaimana masalah ini menyumbang kepada kemunduran kaum Muslimin juga dihuraikan. Begitu juga dengan faktor-faktor yang menyumbang kepada lahirnya masalah dalaman ini turut dibahaskan. Modul ini juga menganalisis apakah penyelesaian terbaik bagi masalah-masalah tersebut.

Ma'na Agama
dan Faham Wahyu
Dr. Mohd. Hilmi Ramli
MODUL 4
10 Oktober 2026

Ilmu: Faham dan
Pembudayaannya
Dr. Rizky Febrian
MODUL 5
17 Oktober 2026
Modul ini bertujuan menghuraikan Faham atau Konsep ‘Ilmu dalam Islām yang terdiri daripada ‘Hakikat, Sifat dan Piawaian ‘Ilmu’ dengan meneliti beberapa ayat al-Qur’ān dan Hadith-hadith Nabi berkaitan ‘ilmu, tujuan perolehan ‘ilmu, dan hakikat, sifat serta piawaian ‘ilmu. Modul ini juga membincangkan ‘Saluran dan Lawan ‘Ilmu’, menelaah punca ‘ilmu serta saluran-salurannya, hubungan antara ‘ilmu dengan hakikat-kebenaran; perbezaan antara ‘ilmu dan ma‘lumat; kaitan antara ‘ilmu, insan dan Tuhan; serta pelbagai penghalang dan lawan ‘ilmu khususnya, yang terbit tersebar dari Keperibadian dan Tamadun Barat, dahulu dan semasa. Akhir sekali, modul ini akan menyentuh ‘Pengkelasan dan Pembudayaan ‘Ilmu’ yang akan menjelaskan pembahagian ‘ilmu kepada pelbagai cabang dan tingkat; adab-adab terhadap ‘ilmu dan ‘ilmuwan; dan pemupukan Budaya ‘Ilmu.

Alam Semesta Sebagai
Ayat-Ayat Allah
Dr. Muhammad Ikhwan Azlan
MODUL 6
24 Oktober 2026
Modul ini bertujuan menjelaskan ‘Alam Semesta sebagai Kitab Kejadian (al-kitāb al-takwīnī) dan seterusnya meninjau kesan kefahaman yang sedemikian itu terhadap hala-tuju pelbagai disiplin ‘ilmu dalam Masyarakat Islām, terutamanya Sains Tabi‘i (natural sciences). Erti ‘Ālam, Āyah dan Kitāb akan ditelusuri dan diamati pada lapangan ma‘na (semantic field) berkenaan ‘Alam Semesta yang terbit dari al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana yang dihuraikan menurut Kerangka ‘Ilmu Islām. Kemudian, jenis Āyat dan Tingkat ‘Alam akan dihuraikan menuruti kefahaman berkenaan: ‘Alam sebagai sasaran dan bahan pengetahuan (object of knowledge); ‘Alam Semesta sebagai ‘Alam Besar (macrocosm: al-‘ālam al-kabīr) dalam hubungannya dengan Insan sebagai ‘Alam Kecil (microcosm: al-‘ālam al-ṣaghīr); Barzakh sebagai ‘ālam al-mithāl dan penengah antara Dunia dan Akhirat; dan ‘Alam Semesta sebagai suatu Kitab yang turut mengandung Āyāt-āyāt Allah yang bersifat muḥkamat dan juga yang bersifat mutashābihat. Selanjutnya, kaedah utama membaca ‘alam pula akan dijelaskan dengan menumpukan kepada pendekatan tafṣīr-ta’wīl sebagai kaedah utama Qur’anī dalam mengkaji dan meneliti ‘Alam Semesta demi untuk mencapai ma‘na dan kefahaman yang benar; dan peranan kefahaman yang sedemikian itu dalam pembasmian pensekularan sebagai ideologi pada dasarnya, dan pensekularan sains sebagai rantaiannya.

Hakikat Insan
Dr. Mohd Zaidi Ismail
MODUL 7
31 Oktober 2026
Modul ini menyentuh persoalan insan dalam Islām. Ia membahaskan pelbagai isu berkaitan hakikat penciptaan dan diri insan. Ia mengupas tentang awal kejadian insan, hakikat keruhanian dan hubungannya dengan jasad. Selanjutnya modul ini akan membahas kewujudan insan dan matlamatnya. Persoalan tentang cabaran, matlamat dan tanggungjawab insan di dunia dalam kaitannya dengan asal penciptaannya juga akan diketengahkan. Faham-faham ini dikupas secara perbandingan dengan tradisi psikologi sekular Barat.

Ma'na Kebahagiaan
Dr. Roslan Jelani
MODUL 8
7 November 2026
Modul ini menyentuh persoalan hakikat kebahagiaan insan dalam Islām. Di sini, faham kebaikan (virtue) dan kebebasan (freedom) yang semuanya kembali pada diri, sifat, dan perlakuan insan dihuraikan secara yang bertentangan dengan lawannya – iaitu kesengsaraan (al-shaqāwah) yang berkemuncak pada tragedi sebagaimana yang dima‘nai dan dialami dalam Tamadun Barat, baik yang purba mahupun yang moden-sekular. Ma‘na kebahagiaan insan yang Islāmi dikupas sebagai asas penilai terhadap pelbagai faham kebahagiaan selainnya.

Ta'dib Sebagai Faham
Pendidikan Islam
En. Md. Asham Ahmad
MODUL 9
14 November 2026
Modul ini mencakup perbincangan mengenai cabaran dan kepincangan sistem pendidikan sekular yang gagal menghasilkan persediaan yang mencukupi bagi seseorang untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang insan, berlakunya kejatuhan pada martabat keinsanan, tidak menekankan soal adab dan budi-pekerti. Selanjutnya, modul ini akan mengemukakan takrifan dan matlamat utama pendidikan dalam Islām yang menjadikan seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah sebagai Tuhannya Yang Sebenar, memahami dan melaksanakan tanggungjawab kepada dirinya sendiri dengan adil dan, berusaha untuk mengislahkan keadaan hidup masyarakat sehingga masyarakat itu akhirnya tahu membezakan antara perbuatan dan kelakuan yang baik dengan yang buruk. Justeru itu, modul ini akan menyimpulkan elemen-eleman teras dalam konsep pendidikan Islām yang mencakup ‘ilmu farḍ ‘ayn dan ‘ilmu farḍ kifayah; hikmah, adab, dan ‘adil, hakikat insan dan budi-pekerti.
